Kemurungan (Depression)
Guys,
Nowadays, seringkali kita mendengar mengenai penyakit kemurungan. Tanpa kita sedari ramai dalam kalangan rakan atau ahli keluarga kita yang mengalami penyakit ini. Tetapi tahukah anda apakah yang dimaksudkan dengan penyakit kemurungan? punca? gejala? dan rawatan? Di sini saya akan menerangkan serba ringkas mengenai penyakit ini.
Secara umumnya, penyakit kemurungan ialah gangguan mood atau emosi yang juga disebut sebagai major depression akibat kesedihan. Penyakit ini telah dikesan sejak zaman Sebelum Masihi lagi. Pada zaman tersebut, penyakit ini dikaitkan dengan roh-roh jahat. Pada zaman Yunani pula, ia dikaitkan dengan empat jenis cecair dalam badan manusia iaitu hempedu kuning, hempedu hitam, kahak dan darah. Pada zaman moden di abad-21 pula, penyakit ini dikaitkan dengan;
- Kesedihan yang berpanjangan: Mereka yang pernah mengalami peristiwa hidup yang menyedihkan seperti penderaan fizikal dan mental atau kehilangan orang yang disayangi
- Genetik: Mereka yang mempunyai ahli keluarga yang pernah menghidapi penyakit ini
- Penyalahgunaan dadah dan alkohol
- Tekanan hidup yang berterusan
- Ketidakseimbangan bahan kimia (serotonin) di dalam otak
- Keherotan kognitif: Melihat diri dan dunia dan masa depan dalam cara yang negatif
- Kekecewaan dalam mencapai penyempurnaan kendiri
Apakah gejala penyakit kemurungan?
Menurut World Health Organization (WHO) dan American Psychiatric Association (APA), gejala-gejala yang dinyatakan di bawah akan berlangsung selama dua minggu secara berterusan;
- Perasaan murung dan sering marah
- Perasaan rendah diri dan mudah menangis
- Tidak bersemangat dengan aktiviti sosial
- Kurang tidur (insomnia) atau terlebih tidur (hypersomnia)
- Pemikiran negatif terhadap diri dan orang lain
- Berfikir untuk membunuh diri
Apakah kaedah rawatan yang digunakan?
Sebelum diberi rawatan, pesakit akan didiagnosis untuk untuk mengesan keterukan penyakit. Lazimnya, Pakar Psikiatri akan menggunakan kaedah rawatan talk therapy (psikoterapi) atau pengunaan ubat. Pengunaan ubat seperti Apo-Lorazepam. Ubat ini berfungsi untuk meredakan manifestasi keresahan yang mempunyai kesan penenang.
Guys,
Berbalik kepada, punca penyakit kemurungan di atas, dapat difahami ada punca yang berada di dalam kawalan kita dan ada yang berada di luar kawalan diri kita sebagai seorang manusia. Oleh yang demikian, apa yang boleh kita lakukan untuk hidup dengan sihat dan sejahtera tanpa mengalami kemurungan?"Pada pendapat saya, apa yang penting bagaimana kita mempersepsi kehidupan kita di dunia ini. Walaupun, kita pernah mengalami peristiwa hidup yang menyedihkan sama ada perkara itu berada di dalam atau luar kawalan kita, adalah lebih sihat jika kita menghentikan semua pemikiran negatif daripada terus mempengaruhi pemikiran kita. Hal ini kerana, pemikiran negatif akan mempengaruhi tingkah laku kita kelak. Jangan benarkan pemikiran tersebut menjejaskan fungsi anda sebagai seorang manusia.
Di samping, kita perlu mengenali diri sendiri agar kita mengetahui kekuatan diri dan kelemahan diri sendiri. Apakah perkara yang boleh membuatkan kita tertekan dan apakah perkara yang boleh membuatkan diri kita gembira? Jika anda menyedari bahawa perkara tersebut boleh membuatkan anda tertekan, cuba untuk elakkan berada dalam situasi tersebut. Sebaliknya, jika anda merasakan peristiwa itu boleh menceriakan diri anda, maka anda boleh meneruskan berada dalam keadaan itu. Selain itu, belajarlah teknik mengurangkan tekanan dan menguruskan tekanan.
Seterusnya, pengisian rohani juga amat penting. Binalah hubungan dengan tuhan. Wujudkanlah rantaian sokongan sosial bersama dengan ahli keluarga, rakan dan komuniti untuk menyokong anda. Berjumpalah dengan pakar psikiatri seawal yang mungkin sekiranya anda sedar terdapat gejala kemurungan dalam diri anda"
Sebagai kesimpulan, janganlah kita menganggap ringan terhadap kemurungan yang dialami. Kemurungan yang tidak dirawat akan menyebabkan kesan lebih parah di mana individu cenderung berfikir untuk membunuh diri.
Akhir sekali ingin saya nyatakan di sini, bahawa tujuan saya menulis ini adalah sebagai pengakuan bahawa saya mengambil berat setiap individu yang berada di sekeliling saya.
