05 January 2019

Kembara Ke Pakistan

Kembara ke luar negara buat kali ketiga bagi tahun ini, saya merantau ke negara Pakistan. Kembara ke negara ini, sememangnya telah menjadi impian saya sejak tahun lepas lagi. Namun, kesukaran mendapatkan visa Pakistan membantutkan keinginan tersebut. Dengan izin dan rahmat Allah akhirnya saya berjaya juga mendapatkan visa Pakistan dengan bantuan abang dan kakak ipar saya (Allah merahmati mereka). Sehubungan dengan itu, pada kali ini, saya tidak mengembara berseorangan tetapi dengan dua belas ahli keluarga yang lain terdiri daripada abang, kakak ipar dan anak saudara.

Sebagai pembuka bicara dan pengetahuan sidang pembaca yang dikasihi, semasa musim sejuk, agak sukar mendapatkan tiket kapal terbang dengan harga yang murah ke bandar Islamabad. Oleh yang demikian, kami terpaksa memilih tiket kapal terbang transit ke bandar Karachi dan selanjutnya menuju ke bandar Islamabad. Selain itu, kami juga tidak mempunyai pilihan lain airlines, yang ada pada ketika itu hanyalah Pakistan International Airlines (PIA). Kapal terbang PIA kelihatan agak usang dan kurang selesa. Layanan yang diberikan oleh paramugara dan paramugari juga berada di tahap sederhana. Hidangan makanan juga agak sederhana bagi anak tekak saya.

Dipendekkan cerita, perjalanan kali ini dalam keadaan cuaca yang kering, berdebu dan dingin. Saya memerlukan empat lapis pakaian untuk menghangatkan badan. Pengembaraan kali ini juga menfokuskan kepada jalinan ukhwah sanak saudara sebelah bapa saya yang berasal dan menetap di bandar Karachi dan Islamabad. 


Ketika berada di Pakistan, saya menyedari bahawa negara ini closed-off kepada pelancong. Oleh yang demikian, sepanjang sembilan hari saya berada di bumi Pakistan, hanya beberapa pelancong Eropah sahaja yang kelihatan. Pegawai atau petugas keselamatan Pakistan dapat dilihat di mana-mana sambil memegang senjata api. Pada ketika ini, saya amat bersyukur kerana sampai juga ke Pakistan kerana sudah pasti saya tidak akan dapat menjejakkan kaki ke Pakistan sekiranya saya mengembara secara solo.

Di bawah coretan ini saya lampirkan beberapa keping gambar yang diambil semasa berada Naran, di Islamabad, Pakistan.


0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home