09 January 2019

Myanmar Dihatiku

Kembara ke negara Myanmar merupakan penutup pemgembaraan saya pada tahun 2018. Setelah beberapa bulan tidak mengembara (selepas Turki), hati saya meronta-ronta untuk mencari destinasi baru. Oleh yang demikian, setiap masa terluang saya gunakan untuk mencari tiket penerbangan murah menggunakan aplikasi Skyscanner. Syukur Alhamdullilah, akhirnya saya berjaya mendapatkan tiket murah Kuala Lumpur (KUL)-Yangon (RGN) dengan harga RM 254 sahaja menerusi syarikat penerbangan murah AirAsia.

Seperti biasa setelah membeli tiket, saya akan membuat persediaan rapi dengan merancang tempat yang hendak dituju. Lazimnya, saya tidak akan berada di satu tempat sahaja. Sudah pasti saya akan berpindah ke beberapa daerah atau bandar yang menawarkan tarikan utama untuk dilawati terutamanya kawasan yang mempunyai historical building. Sehubungan dengan itu, setelah pencarian maklumat selesai, saya memutuskan untuk melawat Yangon-Bagan-Mandalay dalam masa tujuh hari.

Tiba masa yang dinantikan penerbangan KUL-RGN. Selepas sahaja check in, saya semakin teruja. Namun, perasaan tersebut terganggu apabila pemeriksaan polis airport menahan saya kerana tidak  tidak memiliki visa Myanmar. Walau bagaimanapun, pada ketika itu, saya masih berasa tenang. Dalam masa yang sama, saya telah memohon e-visa Myanmar secara online dengan nilai bayaran USD56, permohonan akan diproses dalam masa 24/7 walaupun esoknya adalah cuti umum bagi negara Myanmar (bagi sesiapa yang ingin melawat negara Myanmar, boleh memohon visa secara online di laman web ini, https://www.myanmaronlinevisa.org/?.Setelah beberapa minit, saya menerima emel jawapan bahawa e-visa saya sedang diproses. 

Hal ini juga bermaksud, tiket 'hangus' dan saya terkandas di airport. Saya perlu menunggu e-visa Myanmar sebenar di emelkan sebelum membeli satu lagi tiket baharu ke Yangon. Syukur kepada Tuhan, lebih kurang jam 23.00 saya menerima emel e-visa Myanmar. Walaupun, saya perlu membeli tiket baharu dengan harga yang lebih mahal, saya masih merasakan ia berbaloi, Akhirnya, saya sampai juga ke Yangon dengan hati yang gembira. 

Selama berada di negara Myanmar, saya merasa tenang, selamat dan aman dengan suasana persekitaran dan budaya tempatan. Secara keseluruhannya, rakyat Myanmar hidup sederhana dan gigih mencari pendapatan untuk menyara kehidupan. Ramai juga wanita Myanmar yang lambat berkahwin kerana mereka sibuk melakukan pelbagai perniagaan terutamanya di kawasan tumpuan pelancong.

Cuaca negara Myanmar adalah sejuk dan panas. Saya berasa sejuk pada waktu pagi dan malam. Dan  terasa bahang matahari pada sebelah tengah hari. Oleh yang demikianlah, rakyat Myanmar berkulit hitam manis. Bagi menutup bahang matahari, rakyat Myanmar (terutamanya wanita) memakai bedak sejuk yang diperbuat daripada kulit kayu yang disebut 'thanaka'. Mereka mempercayai 'thanaka' ialah rahsia kejelitaan mereka. 

Wanita Myanmar memakai 'thanaka'
Saya amat berpuas hati dalam kembara kali ini Salah satu daripada sebabnya ialah saya telah menggunakan semua jenis pengangkutan semasa berada di Myanmar. Saya menaiki kapal terbang, kereta api, bas, kapal, bot, kereta kuda, tuk-tuk, dan e-bike. Kos pengangkutan adalah sangat murah.

Kereta api Yangon
Sebaik sahaja tiba di Yangon, saya terus sahaja menuju ke Shwedagon Pagoda. Pagoda ini telah dibina sejak 2,500 tahun dahulu.


Setelah itu, saya menaiki bas malam menuju ke Bagan. Perjalanan mengambil masa selama sembilan jam. Bagan merupakan tempat yang harus dilawati sekiranya anda melawat negara Myanmar. Bagan mempunyai lebih 2,200 kuil dan pagoda yang dibina sejak 2,000 tahun dahulu. Semasa berada di Bagan, saya hanya  menyewa sebuah e-bike dengan harga Kyat 4000 (RM10.70) untuk penggunaan dua belas jam. Dengan e-bike yang ada, pelancong bebas menjelajahi Bagan sepuas hati. 


Gambar di atas, diambil semasa matahari terbit di Bagan. Kelihatan belon udara panas berterbangan memenuhi ruang awan Bagan. Gambar di bawah pula, adalah  gambar kuil yang ada di sekitar Bagan.



Selepas Bagan, saya bergerak ke Mandalay. Perjalanan Bagan ke Mandalay mengambil masa lima jam. Mandalay juga merupakan kawasan utama tarikan pelancong Eropah. Mandalay sangat terkenal dengan kawasan purba Amarapura, Sagaing dan Ava. Di mana kawasan-kawasan ini terdapat  binaan bagunan yang indah seperti Golden Palace, Mandalay Hill,  Hsinbyume Pagoda (Pagoda Putih) Mingun Pahtodawgy, Teak Monastery dan macam-macam lagi.


Hsinbyume Pagoda
Mingun Pahtodawgyi

Seterusnya, saya menaiki bas malam malam menuju ke Yangon dan lapangan terbang antarabangsa Yangon untuk balik ke Kuala Lumpur. Sesungguhnya, terlalu banyak kenangan manis yang saya kecapi semasa berada di negara Myanmar. Ada yang lebih baik saya rahsiakan dahulu.

Wassalam.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home